Sunday 16 October 2011

Literasi Maklumat Dan Teknologi Maklumat.

Literasi maklumat dan teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands-on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri; melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek. Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.

Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal dalam bidang revolusi digital pernah mengatakan, “The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.” (Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang tidak boleh membaca dan menulis tetapi terdiri daripada individu yang tidak boleh belajar, belajar meninggalkan apa yang telah dipelajari dan belajar semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21 memerlukan reaksi pantas manusia untuk berubah mengikut keadaan dan situasi agar tidak ditenggelami oleh tsunami teknologi.
Gaya pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar tidak P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu mengambil sikap yang terbuka dalam mengetahui dan mengenal pasti teknologi pendidikan berkesan yang menggabungjalinkan teori instruksional dan teori pembelajaran. Seperti seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan seperti tukul, paku, tangga dan sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai peralatan (teknologi) yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan berkesan. Dengan wujudnya gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan yang baik, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan memberi impak yang besar dalam proses Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti yang menjadi misi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Anda boleh layari laman sesawang ini untuk rujukan dan latihan untuk murid. http://www.bibliografi.moe.edu.my/ Ini merupakan laman rasmi Sumber Pendidikan.

No comments:

Post a Comment