Sunday 23 October 2011

e_pembelajaran

Pembelajaran elektronik (e-pembelajaran) ialah salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan infostruktur ICT bagi penyebaran pengetahuan dan pelaksanaan pembelajaran kolaboratif (collaborative learning). E-pembelajaran boleh diaplikasikan dalam pelaksanaan kursus atau program secara jarak jauh dan juga untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bersemuka (face-to-face teaching and learning) bagi kursus atau program yang dilaksanakan secara konvensional.

Dimensi pembelajaran secara kolaboratif melalui perbincangan atau interaksi secara bersemuka dapat dilanjutkan dan diperluaskan lagi secara dalam talian segerak (synchronous) atau tidak segerak dalam pendekatan pembelajaran campuran ini. Melalui pendekatan ini juga, pelajar mempunyai masa pembelajaran yang lebih anjal untuk berinteraksi sesama mereka atau dengan pensyarah. Pada masa yang sama, pelajar dapat menjimatkan masa dalam proses pengukuhan fakta perbincangan melalui carian maklumat di Internet tanpa perlu meninggalkan sesi perbincangan dalam talian. Infostruktur ICT dalam aspek e-pembelajaran, terdiri daripada tiga komponen utama iaitu perkakasan komputer (sistem server, sistem rangkaian dan komputer pengguna), perisian serta aplikasi e-pembelajaran dan pelbagai kategori pengguna (pengajar, pelajar, pereka bentuk pengajaran, pembangun kandungan dan staf teknikal).

Pelaksanaan konsep e-pembelajaran di PPSK tidak mengetepikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Konsep ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui capaian kepada bahan pembelajaran di internet dan intranet secara lebih terbimbing dan sistematik. Selain itu, kaedah perbincangan atau interaksi secara dalam talian dapat diwujudkan melalui pelaksanaan konsep e-pembelajaran ini. Aktiviti pembelajaran berasaskan interaksi dalam talian di antara pelajar dan pensyarah atau pelajar dengan pelajar ini adalah sebagai alternatif kepada interaksi bersemuka dalam dewan kuliah atau bilik tutorial. Interaksi dalam talian yang dilakukan secara segerak atau tidak segerak dengan pensyarah sebagai pemudah cara, memberi peluang kepada pelajar melaksanakan kaedah pembelajaran secara kolaboratif, mengikut kesesuaian masa pembelajaran masing-masing.

1 comment: