Sunday 20 November 2011

Pola Ayat Dasar

Ayat Dasar

1. Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi pembentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa.

2. Walaupun terdapat berbagai-bagai jenis ayat dari segi binaan dan susunannya, asas binaannya terdiri daripada beberapa pola tertentu, yang disebut pola ayat dasar sesuatu bahasa.

3. Daripada pola itulah terbit ayat yang lain , sama ada ayat tunggal atau ayat majmuk, ayat pendek atau ayat panjang, ayat aktif atau ayat pasif dan sebagainya.

4. Dalam bahasa Melayu, pola ayat dasar boleh dibahagikan kepada empat jenis dengan berpandu kepada jenis-jenis binaan subjek dan predikatnya.

i. Frasa Nama + Frasa Nama
FN FN
Contoh: Encik Baihaqi (FN) seorang guru (FN)

ii. Frasa Nama + Frasa Kerja
FN FK
Contoh: Aniza(FN) membaca buku (FK)

iii. Frasa Nama + Frasa Adjektif
FN FK
Contoh: Rumah Intan (FN) besar (FA)

iv. Frasa Nama + Frasa Sendi Nama
FN FS
Contoh: Dia (FN) dari Jitra (FN)

Wednesday 2 November 2011

Kursus JU PSS Fasa 2

Kursus ini telah dijalankan pada 01 - 03 November 2011. Ianya diadakan di BTPNNS, Teluk Kemang. Seramai 43 orang guru dari seluruh Negeri Sembilan. Bagi fasa yang ke-dua ini, para JU telah dilatih mengenai penggunaan laman sesawang seperti eduwebtv, google calender, advanced search untuk search engine.

Sunday 23 October 2011

e_pembelajaran

Pembelajaran elektronik (e-pembelajaran) ialah salah satu pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang mengaplikasikan infostruktur ICT bagi penyebaran pengetahuan dan pelaksanaan pembelajaran kolaboratif (collaborative learning). E-pembelajaran boleh diaplikasikan dalam pelaksanaan kursus atau program secara jarak jauh dan juga untuk tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran bersemuka (face-to-face teaching and learning) bagi kursus atau program yang dilaksanakan secara konvensional.

Dimensi pembelajaran secara kolaboratif melalui perbincangan atau interaksi secara bersemuka dapat dilanjutkan dan diperluaskan lagi secara dalam talian segerak (synchronous) atau tidak segerak dalam pendekatan pembelajaran campuran ini. Melalui pendekatan ini juga, pelajar mempunyai masa pembelajaran yang lebih anjal untuk berinteraksi sesama mereka atau dengan pensyarah. Pada masa yang sama, pelajar dapat menjimatkan masa dalam proses pengukuhan fakta perbincangan melalui carian maklumat di Internet tanpa perlu meninggalkan sesi perbincangan dalam talian. Infostruktur ICT dalam aspek e-pembelajaran, terdiri daripada tiga komponen utama iaitu perkakasan komputer (sistem server, sistem rangkaian dan komputer pengguna), perisian serta aplikasi e-pembelajaran dan pelbagai kategori pengguna (pengajar, pelajar, pereka bentuk pengajaran, pembangun kandungan dan staf teknikal).

Pelaksanaan konsep e-pembelajaran di PPSK tidak mengetepikan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Konsep ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui capaian kepada bahan pembelajaran di internet dan intranet secara lebih terbimbing dan sistematik. Selain itu, kaedah perbincangan atau interaksi secara dalam talian dapat diwujudkan melalui pelaksanaan konsep e-pembelajaran ini. Aktiviti pembelajaran berasaskan interaksi dalam talian di antara pelajar dan pensyarah atau pelajar dengan pelajar ini adalah sebagai alternatif kepada interaksi bersemuka dalam dewan kuliah atau bilik tutorial. Interaksi dalam talian yang dilakukan secara segerak atau tidak segerak dengan pensyarah sebagai pemudah cara, memberi peluang kepada pelajar melaksanakan kaedah pembelajaran secara kolaboratif, mengikut kesesuaian masa pembelajaran masing-masing.

Pengajaran Mikro

Definisi Pengajaran Mikro


Menurut Mok Soon Sang (2008), pengajaran mikro ialah suatu teknik pengajaran dalam masa di antara lima hingga lima belas minit untuk mengajar sesuatu kemahiran pelajaran bagi sekumpulan guru pelatih, biasanya terdiri daripada lima hingga sepuluh orang sahaja.

            Menurut  Sharifah Alwiah (1986), pengajaran mikro merupakan satu teknik pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pengajaran guru dalam aspek-aspek tertentu seperti set induksi atau motivasi,penyoalan,variasi rangsangan ,penggunaan papan kapur, alat bantuan mengajar,pengukuhan ,penutup dan lain-lain.

            Kesimpulannya, pengajaran mikro digunakan untuk memerihalkan teknik pengajaran untuk membolehkan pelatih atau pelajar menguasai, melatih atau memurnikan kemahiran pengajaran dalam situasi yang dikurangkan dari segi kesukarannya. Maka dalam melaksanakan pengajaran mikro, bilangan pelajar dan peruntukan masa dikurangkan.
           
            Walaubagaimanapun, teknik ini hanya akan berkesan dan berjaya mencapai matlamat sebagaimana yang dirancangkan dalam pengajaran praktis jika ia difahami, dihayati dan digunakan dengan cara yang tepat. Teknik pengajaran jenis ini merupakan persediaan awal yang diberikan kepada bakal-bakal guru sebelum mereka menghadapi keadaan mengajar yang sebenarnya di dalam bilik darjah.
 
Pelopor.
Pelopor pengajaran mikro ialah Robert Bush dan D.Wight Allen yang merupakan pensyarah di Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Pengajaran, Universiti Stanford pada tahun 1961.

Wednesday 19 October 2011

Bengkel Penulisan Laporan Kajian Tindakan

Bengkel ini telah dianjurkan oleh Unit Kurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Ianya dijalankan pada 17 - 18 Oktober 2011 di SMK Tunku Kursiah, Kuala Pilah. Ianya bertujuan memurnikan penulisan laporan kajian tindakan. Bengkel ini disertai 25 orang guru termasuk guru besar dan pegawai PKG Lui.




Sunday 16 October 2011

Literasi Maklumat Dan Teknologi Maklumat.

Literasi maklumat dan teknologi pendidikan perlu dititik beratkan dalam penyampaian kandungan P&P oleh guru. Murid-murid perlu dibawa keluar daripada kepompong ciri-ciri pembelajaran abad ke-19, antaranya, guru ibarat pelayan komputer (server) yang meyimpan beribu-ribu maklumat dan murid ibarat cakera keras (hard disk) tanpa memori yang menunggu untuk diisi. Gaya pembelajaran terkini, seperti yang ditegaskan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), menyarankan penggunaan pelbagai pendekatan seperti pembelajaran secara hands-on, kontekstual, konstruktivisme dan masteri; melalui permainan dan inkuiri penemuan; dan berasaskan projek. Pendekatan yang digunakan haruslah memberi peluang yang tidak terhad kepada murid dan mengambil kira tahap kecerdasan murid. Ini adalah selaras dengan gaya pembelajaran abad ke-21 yang berpaksikan literasi era digital, murid berfikir secara kreatif dan inovatif, kemahiran komunikasi yang berkesan dan penghasilan kerja yang tinggi.

Alvin Toffler, seorang penulis yang terkenal dalam bidang revolusi digital pernah mengatakan, “The illiterate of the 21st century will not be those who cannot read and write, but those who cannot learn, unlearn and relearn.” (Buta huruf pada abad ke-21 bukanlah individu yang tidak boleh membaca dan menulis tetapi terdiri daripada individu yang tidak boleh belajar, belajar meninggalkan apa yang telah dipelajari dan belajar semula). Tuntutan kehidupan abad ke-21 memerlukan reaksi pantas manusia untuk berubah mengikut keadaan dan situasi agar tidak ditenggelami oleh tsunami teknologi.
Gaya pengajaran guru perlu seiring dengan gaya pembelajaran murid agar tidak P&P dapat dilaksanakan dengan berkesan. Justeru, guru-guru perlu mengambil sikap yang terbuka dalam mengetahui dan mengenal pasti teknologi pendidikan berkesan yang menggabungjalinkan teori instruksional dan teori pembelajaran. Seperti seorang tukang rumah yang mempunyai peralatan seperti tukul, paku, tangga dan sebagainya, murid-murid perlu dibekalkan dengan pelbagai peralatan (teknologi) yang dapat membantu mereka belajar dengan cepat dan berkesan. Dengan wujudnya gabungan literasi maklumat dan teknologi pendidikan yang baik, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan memberi impak yang besar dalam proses Membangun Potensi Individu Melalui Pendidikan Berkualiti yang menjadi misi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Anda boleh layari laman sesawang ini untuk rujukan dan latihan untuk murid. http://www.bibliografi.moe.edu.my/ Ini merupakan laman rasmi Sumber Pendidikan.

Tuesday 11 October 2011

Peperiksaan Akhir Tahun 2011

Murid-murid SK Lui Timur ( f ) akan menduduki Peperiksaan Akhir Tahun 2011 pada 18 Hingga 21 Oktober 2011.
Semoga berjaya dalam peperiksaan ini....

Majlis Berkhatan Peringkat SK. Lui Timur 2011

 Buat julung kalinya, majils berkhatan diadakan di SK Lui Timur. Majlis ini di jalankan pada 27 Mei 2011. Seramai 15 orang murid menyertainya. Aktiviti ini di mulakan denganmajlis doa selamat  perasmian oleh Tuan Pengurus Felda Lui Timur.
Selepas itu, murid telah di arak dengan paluan kompang. Sebelum berkhatan, murid menyertai Aktiviti Bersiram yang di jalankan oleh pihak Bomba Bandar Seri Jempol. Di harapkan majlis ini dapat di teruskan pada masa-masa akan datang



Tuesday 20 September 2011

SELAMAT DATANG

Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya. Sokongan dan keprihatinan tuan/puan amat saya hargai.