Monday 10 June 2013

Kepentingan Konsep 1Malaysia


Konsep Satu Malaysia mula diperkenalkan oleh Dato’ Sri Najib Tun Razak setelah memegang jawatan Perdana Menteri ke 6. Bincangkan kepentingan dan fungsi dasar ini dalam usaha membina negara dalam pelbagai dimensi mencakupi politik, ekonomi dan sosial.

1.0 PENGENALAN.
            Salam 1Malaysia. Itu adalah ungkapan yang sering diungkapkan dalam majlis-majlis rasmi mahupun penulisan. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai jenis kaum. Antaranya ialah Melayu, Cina, India dan lebih daripada 40 suku etnik di Sabah dan Sarawak. Dengan yang demikan, masyarakat di Malaysia adalah masyarakat majmuk yang sangat unik kerana diwarnai dengan pelbagai jenis kebudayaan mengikut kaum masing-masing. Sebenarnya, pembentukkan masyarakat majmuk di Malaysia telah berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi yang mana pada waktu itu ramai pedagang-pedagang dari luar seperti China dan India datang berdagang di Tanah Melayu terutamanya di Melaka.
            Setelah lama berada di bumi Melaka, ada diantara pedagang ini telah membina penempatan, ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan malahan ada pedagang ini terlibat dengan pentadbiran kerajaan Melaka. Jadi tidak hairanlah mengapa masyarakat di negara kita mempunyai pelbagai jenis kaum kerana telah wujud sejak dahulu lagi. Terdapat juga etnik yang baru hasil perkahwinan campur dengan bangsa lain seperti Baba dan Nyonya yang tertumpu di Melaka dan Golongan Mami yang kebanyakannya menetap di Pulau Pinang. Variasi seperti inilah yang mewarnai kepelbagaian masyarakat di negara kita.
            Namun begitu, pembentukkan negara bangsa Malaysia melalui zaman yang sukar dalam proses membina negara seterusnya bangsa yang  mana secara realitinya Malaysia mampu membina negara tetapi kabur dalam konteks bangsanya. Harus difahami bahawa inilah realitinya apabila negara ini dibentuk dengan masyarakat yang majmuk. Kesukaran yang dialami Malaysia ialah untuk mengikat bangsanya melalui agama, bahasa, dan budaya. Namun begitu, cabaran yang paling besar dalam konteks pembinaa negara bangsa ialah membinanya dan memperkukuhkan perpaduan.
            Justeru itu, pelbagai dasar dan program telah dilaksanakan dengan matlamatnya adalah untuk perpaduan seperti kewujudan Rukun Negara, Dasar Pendidikan Negara, Dasar Kebudayaan Kebangsaan ( DKK ), Integrasi Nasional, dan yang terbaru adalah 1Malaysia. Melalui dasar-dasar yang diwujudkan ini bukan sahaja untuk mencapai matlamat perpaduan malah juga negara ini diharapkan akan terus dipacu hingga menjadi negara yang maju dan kompetetif dari segi politik, ekonomi, dan sosial.



2.0  KONSEP 1MALAYSIA
            Kewujudan gagasan 1Malaysia adalah bertitik tolakan kepada matlamat negara untuk mencapa perpaduan yang jitu dikalangan masyarakat Malaysia. Dato’ Sri Najib Tun Razak telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia setelah beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6. Gagasan ini menuntut rakyat daripada pelbagai kaum dan agama supaya dapat berfikir melepasi sempadan tembok kepentingan etnik dan kaum. Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum ini perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sebelum kita meneruskan perbincangan ini, eloklah kita memahami dulu mengenai logo 1Malaysia.
Logo 1Malaysia ini melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Selain itu, ia mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa1




    ____________________
1Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Prof. Madya Mohd Shah A’shaari, Gagasan Najib: 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ hlmn 1 
            Visi gagasan 1Malaysia ialah mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu. Gagasan ini mencerminkan rakyat Malaysia yang bekerjasama,bermuafakat,berdikari,berfikiran dan menghayati satu visi untuk membina negara bangsa. Manakala misi gagasan 1Malaysia ialah “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Misi ini menekankan kepentingan rakyat terlebih dahulu supaya rakyat percaya terhadap pentadbiran negara di samping dapat mendengar dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Selain itu, pencapaian juga diutamakan iaitu dengan mencapai sasaran dan impak cemerlang yang dapat memberi faedah kepada seluruh masyarakat tanpa ada yang tercicir daripada arus pembangunan negara.
            Sejurus itu, dengan wujudnya konsep 1Malaysia ini telah memberi impak yang penting dalam usaha Malaysia membina negara yang maju dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Gagasan 1Malaysia ini mempunyai lapan konsep penting iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integrasi. Kelapan-lapan konsep ini memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan politik, ekonomi dan sosial negara Malaysia. Usaha ini perlu pengembelengan dan kesanggupan semua pihak untuk mengamalkan nilai-nilai yang ada.
            Justeru, bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi,termasuk dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, maka Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan prinsip-prinsip rukun negara. 1Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipepelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran.
            Manakala, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menerangkan bahawa konsep 1Malaysia adalah ‘Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama’.    ( Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Prof. Madya Mohd Shah A’shaari, 2010 ).
Terdapat 8 Nilai Teras 1Malaysia yang diperkenalkan YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak iaitu seperti berikut :
8 NILAI
KETABAHAN
KESETIAAN
PENDIDIKAN
PENERIMAAN
BUDAYA KECEMERLANGAN
 





  
MERITOKRASI
INTEGRITI
RENDAH HATI
 

             

8 Nilai Teras 1Malaysia
            Perdana Menteri kita berharap nilai-nilai murni ini dapat menyatupadukan rakyat Malayisia yang berbilang kaum dan kepercayaan dengan berfikiran dan tindakan yang ke arah mencapai satu matlamat iaitu demi kepentingan negara kita yang tercinta ini.
Ketabahan
            Setiap manusia tidak mengira pemimpin ataupun rakyat, perlu mempunyai nilai ketabahan diri dalam mengharungi cabaran globalisasi yang semakin memberi tekanan. Kita harus bijak mengadaptasi tekanan yang ada itu dan memberi motivasi untuk berjaya. Kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat manakala raykat pula harus memberi kerjasama yang sebaik mungkin. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta tabah menghadapi segala dugaan dan rintangan adalah sikap yang perlu ada untuk mencapai matlamat yang diidamkan. Walaupun negara menghadapi kemelesetan ekonomi, rakyat perlu bangkit dan dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang menjadi punca kemerosotan tersebut supaya berubah kepada keadaan yang stabil. Semangat juang yang perlu ada dalam rakyat Malaysia bagi mencapai matlamat demi peningkatan diri mahupun negara.

Penerimaan
            Konsep penerimaan dan toleransi merupakan dua perkara yang berbeza dari segi maksud dan pelaksanaannya. Penerimaan adalah perlakuan positif menerima sepenuhnya mengenai sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas manakala toleransi berlaku atas sebab tiada pilihan atau terpaksa. Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia, kita haruslah dapat menerima sahaja perkara baik. Pembentukan Gagasan 1Malaysia dapat menbentuk rakyat Malaysia dalam menerima cadangan yang baik dalam meningkatkan persefahaman antara kaum. Peluang yang ada dapat dikongsi bersama dalam meningkatkan ekonomi diri.

Pendidikan
            Rakyat Malaysia kini berebut-rebut peluang untuk meningkatkan pencapaian akademik dalam menuju ke era pemodenan. Peningkatan akademik rakyat menjadi tonggak untuk negara mencapai kejayaan. Pendidikan yang diterapkan pada semua pelajar telah mula dijalankan sebelum ini dan perlu diperbaiki dan ditambahbaik demi memupuk nilai-nilai murni. Antara program yang telah dan masih dijalankan di sekolah-sekolah ialah Program RIMUP. Program ini menuntut kerjasama yang baik antara pelbagai aliran sekolah. Ini akan menjadi kesinambungan dalam usaha untuk menekankan nilai-nilai murni dalam membentuk 1Malaysia.

Integriti
            Kejayaan sesebuah negara adalah bergantung bagaimana caranya untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyatnya. Kedua-dua ini dapat diperolehi dengan pemupukan nilai-nilai integriti. Ianya amat berhubungkait sikap rakyat. Oleh itu, pembangunan sahsiah yang baik dapat membangunkan integriti seseorang individu. Kepentingan negara amat perlu diberi keutamaan manakala sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

Meritokrasi
            Ia merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi criteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Rakyat perlu diberi peluang untuk meningkatkan ekonomi diri masing-masing. Maka kerajaan bertanggungjawab untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik. Ia juga menekankan persaingan secara terbuka kepada sesiapa yang berhak untuk diberi sesuatu kelebihan.

Rendah Hati.
            Rendah hati ( tawadhuk ) merupakan sikap yang penting dalam diri setiap orang. Ajaran Islam dan budaya masyarakat Melayu amat mementingkan sikap ini. Kita tunduk bukannya bererti kita mengalah. Masyarakat kita tidak dapat menerima sikap suka menunjuk kebelohan dan pencapaian diri. Sifat yang ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia yang amat dibanggakan ialah menghormati orang lain. Ia perlu ada dalam diri kita dalam usaha menjaga hubungan dengan orang lain serta memperkukuhkan masyarakat majmuk yang telah diterapkan dalam jiwa rakyat. Kita tidak perlu menunjukkan sikap rendah diri jika berurusan dengan negara luar demi memperlihatkan kekuatan, keyakinan dan kemampuan rakyat Malaysia tanpa menggunakan cara yang tidak baik.

Kesetiaan
            Kesetiaan kepada Raja Dan Negara merupakan prinsip kedua Rukun Negara yang wajib dipegang oleh semua rakyat Malaysia. Kesetiaan kepada negara amat penting dalam menjamin keamanan dan kesejahteraan bagi setiap rakyat. Kita juga perlu setia kepada pemimpin atau ketua kita. Sesuatu organisasi akan hancur jika orang bawahan tidak mempunyai kesetiaan kepada pihak atasan ataupun organisasi itu sendiri. Oleh itu, kesetiaan akan membina kepercayaan serta menjalin hubungan yang baik.

Budaya Kecemerlangan.
            Amalan ini akan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi di mata dunia. Budaya ini akan mencerminkan tahap atau prestasi rakyat Malaysia. Ianya perlu dilaksanakan secara berterusan dengan mementingkan prestasi sebagai pengukuran tahap pencapaian atau kemajuan seseorang individu. Kita perlu mempunyai budaya kecemerlangan jika ingin memperolehi kejayaan dalam hidup.


     
3.0   KEPENTINGAN DAN FUNGSI DASAR 1MALAYSIA DARI  SUDUT POLITIK.

            Cabaran globalisasi yang menlanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisir daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira keturunan dan pegangan agama, perlu bertindak sebagai satu bangsa, yakni bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai matlamat yang sama iaitu membina sebuah negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur serta mampu bersaing dengan masyarakat lain di dunia.
            Dalam aspek politik, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam menjayakan gagasan ini, malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka. Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mencari usaha ke arah pembangunan modal insan jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus kemodenan dunia.
            Persaingan politik perlu diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang lebih bersifat menggalakkan dan mendokong usaha ke arah pembentukan bangsa Malaysia. Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga bangsa Malaysia dapat diperkukuhkan.
            Konsep 1Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru. Sebaliknya, konsep 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ lebih merupakan satu konsep dalam bidang pentadbiran yang menyarankan pemimpin-pemimpin kerajaan menjalankan tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat. Perkaitan antara konsep 1Malaysia dan dasar-dasar negara terdahulu dinyatakan sendiri oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sekarang. Beliau menegaskan konsep 1Malaysia, ‘Rakyat DiDahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah kesinambungan daripada dasar-dasar  yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.
            Konsep ini bukanlah perkara baru. Sebaliknya 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan. Usaha-usaha memelihara dan menajga kepentingan rakyat serta negara telah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Usaha-usaha membangunkan rakyat dan negara telah disambung oleh perdana-perdana menteri seterusnya. Setiap Perdana Menateri mempunyai gagasannya tersendiri, namun matlamatnya tetap sama iaitu untuk rakyat dan negara. Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan yang diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.


4.0   KEPENTINGAN DAN FUNGSI DASAR 1MALAYSIA DARI SUDUT EKONOMI.
            Pada aspek ekonomi pula, Dasar 1Malaysia lebih memperlihatkan penghapusan dasar ‘Pecah Dan Perintah’ yang diperkenalkan oleh penjajah barat iaitu British sebelum Tanah Melayu ( Malaysia ) mencapai kemerdekaan. Meskipun sudah 54 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan namun kesan daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi Gagasan 1Malaysia ini, sektor ekonomi lebih tertumpun kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika dahulu, kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina memonopoli bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada bidang perladangan dan estet. Kini pelbagai kaum mampu menceburi diri dalam bidang yang mereka mampu bangunkan.       
            Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan suntikan semangat kepada seseorang individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang berpotensi untuk dimajukan dalam jangka masa yang panjang. Bidang-bidang yang dipilih juga boleh mendapat suntikan kewangan yang disediakan oleh kerajaan melalui perbankan yang telah dilantik seperti Egro Bank, Bank Rakyat dan lain-lain. Kesannya ialah ekonomi seseorang individu boleh dipertingkatkan seterusnya memperkasakan ekonomi negara hasil pembentukan Gagasan 1Malaysia. Perpaduan kaum juga dapat kekalkan dan dipertingkatkan jika rakyat yang berbilang kaum itu dapat  menaiktaraf serta menyeragamkan kedudukan ekonomi yang sama rata. Bak kata pepatah ‘ Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’. Keseragaman ekonomi ini akan membantu dalam meningkatkan keutuhan ekonomi negara kita yang sedang menuju ke arah negara maju. Oleh itu, kita harus mencorak 1Malaysia menuju ke arah pencapaian matlamat dan kesejahteraan serta kemakmuran bersama dalam negara yang aman damai ini.
            Dasar Ekonomi Baru ( DEB ) telah diwujudkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Dasar ini telah menampakkan kejayaan dengan memajukan negara kepada tahap yang tinggi dan memperbaiki kedudukan ekonomi orang Melayu melalui penguasaan ekuiti yang walaupun tidak tinggi tetapi ia tetap satu kejayaan yang boleh dibanggakan. Kaum Melayu perlu bersedia untuk bekerjasama rapat dengan kaum lain dalam usaha membangunkan ekonomi. Ini penting untuk memastikan penyusunan masyarakat adalah berjaya sejajar dengan konsep 1Malaysia. Kita mahu melihat sikap yang lebih terbuka kerana dari segi fakta dan sejarah kita,ekonomi dikuasai oleh orang bukan Melayu terutamanya kaum cina yang memonopoli sektor perniagaan. Oleh itu, dalam usaha untuk memanjangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kita perlu berkerjasama dan berkongsi masa depan dengan mengikut dari segi perkongsian politik,ekonomi dan sebagainya bersama-sama. Maka, amat bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia dan adalah menjadi tanggungjawab semua rakyat untuk menyokong usaha kerajaan.

5.0   KEPENTINGAN DAN FUNGSI DASAR 1MALAYSIA DARI SUDUT SOSIAL
            Setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Melalui konsep 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum yang lain. Namun begitu, konsep 1Malaysia yang mempunyai prinsip keadilan sosial bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan bukan-bukan. 1Malaysia menekan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana satu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Hormat-menghormati antara semua kaum termasuk menghormati adat resam serta budaya kaum lain. Rasa hormat ini juga menuntut kita tidak mengeluarkan kata-kata kesat tentang kaum lain dan juga tidak mempersoalkan peruntukkan-peruntukkan undang-undang yang menyentuh sensitiviti kaum.
            Selain itu, aspek agama dan kepercayaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam usaha menjayakan Gagasan 1Malaysia. Hal ini kerana, agama dan kepercayaan merupakan pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan oleh aspek lain. Oleh sebab itu, konsep 1Malaysia dalam soal keagamaan dan kepercayaan merujuk kepada sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan agama sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan agama yang menjadi anutan sebahagian besar masyarakat Malaysia.
            Justeru, sensitiviti agama dan perkauman perlu dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang seterusnya menidakan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung-mengunjung yang semakin diguna pakai semasa perayaan oleh masyarakat tempatan. Konsep ini merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti sesuatu kaum seterusnya memupuk sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Langkah muhibbah ini mampu memperjelaskan lagi secara rohaninya konsep 1Malaysia.


6.0   KEPENTINGAN DAN FUNGSI DASAR 1MALAYSIA DARI SUDUT LAIN
            Aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan Gagasan 1Malaysia. Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan. Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1Malaysia dalam diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan. Antara nilai-nilai 1Malaysia yang perlu diterapkan ialah ketabahan, penerimaan, pendidikan, rendah hati, kesetiaan, meritokrasi, integriti dan budaya kecemerlangan. 
            Nilai-ini ini perlu diterapkan dalam proses pengajaran di dalam mahupun diluar kelas iaitu dalam aktiviti kokurikulum. Murid perlu memahami dengan lebih mendalam tentang 8 nilai tersebut. Ianya perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh guru dalam menjalankan tugas sebagai pendidik dan mengukur keberkesanannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah ataupun di universiti.
            Bagaimanakah nilai ini boleh dijayakan ? Pakar-pakar pendidikan mengubah pendekatan pendidikan supaya nilai-nilai ini terserlah dan diakui penting. Contohnya tugasan akademik di universiti perlu ada elemen kesungguhan dari segi teori, cara menulis dan membincangkan sesuatu isu. Selain itu, integrity diukur melalui tingkah laku individu yang terlibat2.
            Ini dapat dibuktikan dengan modul yang diperkenalkan oleh UPSI bagi pelajar Pendidikan Jarak Jauh ( PJJ ) 2011. Pelajar yang mendapatkan pendidikan dari UPSI perlu memahami tentang 1Malaysia melalui penghasilan tugasan mahupun forum seperti yang terdapat dalam Modul Pendidikan Jarak Jauh. Modul yang telah diperkenalkan sangat bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia. Jika  kita lihat secara keseluruhannya, masih terdapat segelintir guru yang masih tidak memahami tentang konsep 1Malaysia. Jadi penghasilan modul yang bersesuaian ini dapat meningkatkan pemahaman guru-guru agar dapat diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing. Jelaslah bahawa konsep 1Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan sistem pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat.
            Persaingan yang sengit antara pelajar dalam mendapatkan peluang untuk memperolehi pendidikan yang lebih tinggi di pusat pengajian tinggi awam mahupun swasta. Ini mendorong kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan ( NGO ) bertindak bijak dan saksama dalam memberi peluang kepada pelajar tanpa mengira bangsa, agama mahupun kepercayaan. Selain itu, penubuhan ataupun pembentukan satu jenis sekolah sahaja yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar mampu mewujudkan dan memantapkan perhubungan antara pelbagai kaum. Hasilnya, peningkatan dari tahap kreativiti dapat dipupuk kerana persaingan yang sihat antara pelajar pelbagai kaum. Pada masa kini, hanya sekolah menengah sahaja terdapat sistem ini. Oleh itu, ia perlu dipupuk sejak dari awal lagi iaitu sekolah rendah. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Budaya pembelajaran ini perlu berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat agar menjadi amalan harian rakyat Malaysia dalam usaha mencapai Wawasan 2020.
              




____________________
1Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Prof. Madya Mohd Shah A’shaari, Gagasan Najib: 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ hlmn 41. 
7.0   KESIMPULAN
            1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia bukan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan kearah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia dalam aspek politik, sosial dan ekonomi. Dalam erti kata lain, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat.
            Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju dari segi politik, ekonomi dan sosial sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020. Syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Perpaduan yang digambarkan oleg Gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain dimana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip perlembagaan persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dengan menjaga kepentingan sosial dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patutu dibanggakan.
            1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, dimana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang  lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.
            Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan.
            1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar terutama dalam ketiga-tiga aspek politik, ekonomi dan sosial.
            Konsep 1Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang bertujuan menggugat kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
            Secara kesimpulannya, Gagasan 1Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan datang sebaliknya langkah kearah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Seruan pemimpin negara perlu disahut oleh semua pihak dalam usaha menjayakannya. Perkongsian idealogi dalam menjayakannya perlulah bersikap mantap dan perlaksanaannya perlulah secara bersepadu bagi merealisasikan harapan beliau kepada negara.
            Kesannya bukan sahaja melibatkan negara secara umumnya malah meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Oleh itu, semangat 1Malaysia perllu di dukung oleh semua pihak umtuk memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi arus pemodenan, pembangunan, persaingan dan globalisasi dunia. Diharapkan gagasan ini akan mencapai matlamat dan hala tuju seperti yang telah ditetapkan.
            1Malaysia juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat seperti yang terpamer melalui slogan YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.  





Rujukan

Ahmad Fawzi Abdul Halim Ahmad ( 1987 ). Isu-isu Perpaduan, Cabaran, Pencapaian Dan Masa Depan. Kuala Lumpur : Jitra Kedah Pecetakan Season Sdn. Bhd.
Syed Mahadzir Syed Ibrahim, Prof. Madya Mohd Shah A’shaari, Gagasan Najib: 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Selangor : Warisan InKED .
Mohd Syariefudin Abdullah et al. ( 2009 ). Kenegaraan Dan Ketamadunan,Kuala Lumpur: Oxford Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Institut Tadbiran Awam Negara ( 1997 ). Dasar-Dasar Pembangunan Malaysia. Kuala Lumpur: Percetakan Nasioanal Berhad.
Syed Mahadzir Syed Ibrahim & Mohamad Shah A’shaari, Prof. Madya. Perpaduan Teras Pembangunan. Shah Alam : WiNK, 2009
Yusof Harun & Noor Asmah M.N. Najib: Perdana Menteri Ke 6. Kuala Lumpur : Titisan Putih Sdn. Bhd. 2009.


Laman Sesawang
www.utusan.com.my/info ( Arkib : 24/05/2009 )